“Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda.
“Itulah dulu pun saya ada kekasih, dan kami saling cinta menyintai dan
merancang untuk berkahwin apabila sampai masanya, tapi apabila saya tahu
hubungan saya dengan dia tu menyebabkan saya dan dia terjebak dengan
zina hati maka saya putuskan”
Seringkali saya mendengar kata-kata seperti itu keluar melalui kata-kata
atau tulisan daripada mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja
persatuan-persatuan Islam atau kerja-kerja dakwah remaja.
Pada mulanya saya buat tak kisah atau dengan kata lain buat tak pot
kerana saya menganggap kes-kes itu sebagai kes terpencil yang biasanya
berlaku di zaman sekolah menengah. Biasalah tu budak-budak sekolah yang
baru dalam proses pra-matang kepada matang, baru nak up orang kata,
pedulikanlah.
Tapi apabila ada pelajar di peringkat universiti yang mengeluarkan
kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya mula tertanya-tanya dan bersyak
wasangka, “eh takkanlah pelajar universiti yang bakal keluar sebagai
pemimpin masyarakat pun tak faham-faham lagi, mustahillah”.
Tapi ternyata, sangkaan saya itu meleset sama sekali. Mimpi buruk
melanda diri setelah melancong ke laman-laman web internet yang
mempromosikan keislamikkan mereka. Saya terkejut apabila mendapati
ketempangan yang cukup serius dalam memahami apa yang diistilahkan
sebagai zina hati.
MAKSUD ZINA HATI DAN ZINA KECIL YANG LAIN
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam:
(إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا
أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا
اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ
يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى (6/2438، رقم 6238)، ومسلم
(4/2046، رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم 2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان
(4/365، رقم 5428).
وفي رواية مسلم: (كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ
الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا
النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ
الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا
وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ
وَيُكَذِّبُهُ).Maksudnya: (Sesungguhnya Allah mencatatkan
bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam.
Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu
mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau
mendustakannya). Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim
(4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam
Shu’ab Iman (4/365, no 5428).
Dan dalam riwayat Imam Muslim: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian
zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu
zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya
ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah,
dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau
mendustakannya)
Hadith pertama menggunakan istilah zina nafsu, manakala hadith yang
kedua pula menggunakan istilah zina hati. Hadith inilah yang menjadi
hujah tentang wujudnya zina yang dinamakan dengan zina hati dan tidak
syak lagi hadithnya adalah hadith yang sahih.
Tidak dipertikaikan kewujudan istilah zina hati dan asasnya dalam Islam,
tetapi apa yang dipertikaikan adalah kegagalan ramai daripada kalangan
mereka yang bercakap tentangnya untuk mengupasnya secara ilmiyyah
sehingga adakalanya membuatkan remaja dan pemuda salah faham yang
seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang tempang dalam beragama.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zina hati? Adakah jatuh cinta
kepada seseorang itu dianggap zina hati? Adakah teringatkan seseorang
itu zina hati? Mungkin sebahagian daripada kita akan menjawab: “Ya,
itulah zina hati”. Apabila ditanya lagi mengapa itu zina hati? Jawab
mereka: “Kerana kita mengingati seseorang yang ajnabi (bukan mahram)
yang tidak halal buat kita”!!!
Kalau anda meletakkan sebab pengharamannya adalah kerana dia ajnabi
tidak halal bagi kita, bagaimana anda mahu menafsirkan firman Allah
dalam Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi yang teringatkan perempuan
ajnabiyyah yang tidak halal buatnya?
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:
عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً
Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة / iddah
(tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian ada
lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan ini.
Lalu Allah berfirman ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati
perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu
secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik.
Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya
kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada
asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan
kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri
kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb,
jilid 1, m/s 238).
Bukankah perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan
perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi
mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak
boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata (Allah
Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi
jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia).
Justeru apa yang dapat difahamai daripada ayat tersebut adalah: Tiada
masalah dalam mengingati perempuan tersebut, tapi jangan fikir nak buat
yang bukan-bukan yang bertentangan dengan syarak’. Itulah apa yang
sepatutnya difahami daripada firman Allah tersebut.
Kalau mengingati perempuan yang ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah
melarang para sahabat daripada mengingati perempuan, tetapi Allah
sendiri tidak melarang bahkan memberi izin.
Justeru, yang dimaksudkan dengan zina hati itu adalah hati yang menaruh
niat untuk berzina, menikmati hubungan persetubuhan luar nikah. Itu yang
dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk kembali konteks hadith berkaitan
zina hati secara keseluruhan. Tidakkah di pengakhiran hadith tersebut
Nabi ada menyebut:
وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: (dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Bermakna
semua perkara daripada tangan, kaki, telinga, mata, lidah, hati yang
menuju ke arah persetubuhan haram barulah dipanggil dengan zina. Sebab
itu disebut di pengakhiran hadith (Kemaluan itu yang akan menentukan
berlaku atau tidak berlakunya zina).
Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya:
"
فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060
Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya
maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa
kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman
(5/393, no 7060).
Jadi, zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan
kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta
boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah
pandangan yang menggoda dan penuh syahwat.
Dengan itu juga, menyampaikan kata-kata mesra kepada bukan mahram
bukanlah semestinya tergolong sebagai “zina lisan”. Yang tergolong
sebagai “zina lisan” adalah kata-kata pujuk rayu dan godaan kepada nafsu
berahi.
Begitu juga halnya dalam masalah mengingati atau merindukan si dia atau
pun merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia, bukanlah serta
merta boleh tergolong sebagai “zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah
mengharap dan menginginkan kepada persetubuhan luar nikah sebagai
memenuhi syahwat.
EKSTREMIS DI DALAM ISU ZINA HATI
“Melihat perempuan itu haram”
“Mendengar suara perempuan itu haram”
“Mengingati bayangan perempuan itu haram”
“Semua itu adalah zina”
Biasa mendengar klausa-klausa kata sebegitu?...hehe. Banyak kali dengar
kan? Mungkin agaknya mereka mahu menjadikan perempuan itu sebagai
makhluk haram di atas planet bumi ini, dan bagi perempuan pula mereka
mahu menjadikan makhluk lelaki sebagai makhluk haram di atas planet bumi
ini.
Sampai begitu sekalikah pandangan anda tentang pengharaman segala yang
datang daripada perempuan atau segala yang datang daripada lelaki?
Sedangkan khinzir pun tidak sampai ke tahap itu diharamkan dalam
Al-Qur’an. Yang hanya diharamkan adalah makan dagingnya sahaja.
Apakah sebenarnya pengharaman dalam masalah perhubungan antara lelaki
dan perempuan? Adakah perempuan itu haram semata-mata kerana dirinya
حرام لذاته / haram lizatihi, atau haram kerana perkara luaran lain حرام
لغيره / haram lighairihi?
Melihat perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata pandangan
kepada perempuan itu haram atau pandangan itu haram disebabkan unsur
luaran lain?
Tentunya pandangan yang diharamkan adalah pandangan yang disertai dengan
syahwat, pandangan yang menggoda dan bernafsu. Itulah sebab kepada
pengharaman pandangan bukan semata-mata kerana pandangan biasa.
Suara perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata suara kepada
perempuan itu haram atau suara itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya suara yang diharamkan adalah suara yang dilunakkan untuk
menarik perhatian, suara manja mendodoi, suara-suara gedik. Suara
sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata suara biasa.
Mengingati perempuan itu? Adakah semata-mata ingat kepada perempuan itu
haram atau ingatan itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya ingatan yang diharamkan adalah ingatan yang membayangkan
keseksian susuk tubuh perempuan, membayangkan untuk bersetubuh dengan
perempuan dan bayangan yang membangkitkan berahi. Ingatan dan bayangan
sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata ingatan biasa.
Itulah hal-hal yang dipanggil zina kecil. Pengakhiran yang menentukannya
adalah kemaluannya sama ada menjebakkannya ke kancah perzinaan hakiki
atau tidak.
SEJAUH MANA DOSA ZINA TANGAN, KAKI, TELINGA, MATA, LIDAH, HATI?
Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa:
"فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060
Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya
maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa
kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman
(5/393, no 7060).
Kata Ibnu Abbas pula:
"مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو
هُرَيْرَةَ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ
اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا
أَدْرَكَهُ لَا مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ
النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ
أَوْ يُكَذِّبُهُ)". رواه البخاري (8/67، رقم 5774) ومسلم (8/52، رقم
4801).
“Aku tidak melihat sesuatu yang lebih menyerupai Al-Lamam itu kecuali
daripada kata-kata Abu Hurairah daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
(Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak
berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina
lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan
itu mengiyakan atau mendustakannya)”. Riwayat Imam Bukhari (8/67, no
5774), dan Imam Muslim (8/52, no 4801).
Apa yang dimaksudkan dengan Al-Lamam??? Al-Lamam bermaksud dosa kecil
yang tidak akan selamat daripadanya kecuali mereka yang dilindungi dan
dijaga oleh Allah. Ibnu Mas’ud, Abu Said, Huzaifah, dan Masruq
berpendapat bahawa: Al-Lamam itu ialah selain daripada bersetubuh, sama
ada ciuman, sentuhan, pandangan, dan baringan. (Rujuk Tafsir
Al-Qurthubi, jilid 17, m/s 106, cetakan Dar Alamil kutub).
Perkataan Al-Lamam ini disebut dalam firman Allah dalam Al-Qur’an, Surah An-Najm , ayat ke-32 :
وَلِلَّهِ
مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ
أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى
(31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ......
Maksudnya: Dan bagi Allah segala yang di langit dan di bumi, supaya dia
membalas mereka yang berbuat buruk dengan apa yang mereka kerjakan, dan
membalas mereka yang baik dengan kebaikan. Mereka yang menjauhi
dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji kecuali Al-lamam, Sesungguhnya
Tuhan kamu Maha Luas keampunannya…
Contoh daripada hadith ini mungkin boleh membantu soal pengampunan dosa Al-Lamam:
نَّ
رُجلا أصَابَ من امرأَةٍ قُبْلَة، فأتَى النبيَّ صلى الله عليه وسلم، فذكر
ذلك له، فَنزلت ((وأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفا مِنَ
اللَّيْلِ، إنَّ الْحَسَناتِ يُذْهِبْنَ السَيِّئاتِ ذلكَ ذِكْرى
لِلذَّاكِرين)) [ هود : 116]. فقال الرجل : يا رسول اللّه، أَلِيَ هذه ؟
قال: «لمنْ عمل بها من أُمَّتي». أخرجه البخاري (1/140)، ومسلم (8/101).
Maksudnya:
Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu dia datang bertemu
Nabi dan menceritakan perkara itu kepada Nabi”. Lalu turunlah ayat
((Dan dirikanlah solat pada sebahagian hari dan hujung malam,
sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan, itu adalah
ingatan kepada mereka yang mengingati)) [Surah Hud, ayat ke-116]. Lalu
lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, adakah bagiku (sahaja) hal
ini? Sabda Nabi: (Bahkan bagi orang melakukannya daripada umatku).
Riwayat Imam Bukhari (1/140) dan Imam Muslim (8/101).
Lelaki tersebut telah melakukan zina kecil, iaitu mencium seorang
perempuan bukan mahram. Bagaimana untuknya menghapuskan dosa zina kecil
tersebut? Jawabnya adalah dengan berbuat kebaikan, insyaAllah kebaikan
yang dibuat itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan.
APA HUKUM BERCINTA?
Pertamanya, apa maksud bercinta itu? Adakah maksudnya memiliki dan
berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan? Atau maksudnya
keluar berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan
segala aktiviti lain?
Saya rasa semua bersetuju bahawa kalau maksudnya keluar berdua-duaan dan
bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain maka
saya kira semua daripada kita akan bersetuju tentang keharamannya.
Tetapi kalau maksudnya, memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara
lelaki dan perempuan, apakah juga termasuk dalam perkara yang haram?
Apakah yang salahnya di situ? Mungkin ada yang akan menjawab, tak boleh,
kerana bercinta sebelum kahwin itu akan mengundang dosa dengan
melakukan perkara-perkara tak baik.
Baik kalau begitu, bercinta itu tidak haram pada asalnya tetapi bertukar
menjadi haram kerana tidak mematuhi batas-batas yang dibenarkan. Pendek
kata, pengharaman itu berlaku bukan pada perasaan tersebut tetapi pada
perkara luar. Atau dengan bahasa usul Fiqhnya cinta itu bukannya حرام
لذاته / haram lizatihi, tetapi bertukar menjadi حرام لغيره / haram
lighairihi kerana perkara lain.
Bermakna selagi mana batas-batas pergaulannya terjaga maka cinta itu tiada sebab dan alasan untuk diharamkan.
Justeru, tidak sepatutnya wujud antara kita yang semudah-mudahnya mahu
menghukum mereka yang menyimpan perasaan cinta antara satu sama lain itu
sebagai haram kerana perasaan cinta itu adalah fitrah manusia yang
suci. Hanya apabila batas-batas pergaulan dilanggar barulah hukumnya
bertukar menjadi haram.
Makan daging lembu itu adalah halal, tetapi makan daging lembu yang
dicuri adalah haram, bukan kerana daging itu, tetapi kerana masalah
curi. Bagi menghalalkan kembali daging tersebut, bayar sahaja wang harga
daging kepada tuan punyanya.
Begitu juga dengan cinta. Menyimpan dan berkongsi perasaan cinta dengan
bukan mahram itu adalah satu perkara fitrah dan diharuskan dalam agama,
tetapi apabila perasaan itu disertai dengan kehendak untuk persetubuhan
haram (zina), maka diharamkan, bukan kerana perasaan tersebut tetapi
kerana niat untuk persetubuhan haram tersebut. Justeru, bagi
menghalalkan kembali hubungan cinta yang terjalin, perkara-perkara haram
yang timbul perlu dibuang.
Memiliki dan berkongsi perasaan cinta ini yang halal ini diperakui oleh
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith yang diriwayatkan
oleh Ibnu Abbas:
عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال: "يا رسول الله في حجري
يتيمة قد خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب الموسر وهي تحب المعدم، فقال
رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لم نر للمتحابين غير النكاح)". أخرجه ابن
ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى (11/17، رقم 10895)، والحاكم (2/174،
رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم، والبيهقى (7/78، رقم 13231).
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada
Nabi: “Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim
perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau
dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka
berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: (Kami tidak melihat
perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali
kahwin)”. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874),
At-Tabarani (11/17, no 10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata
bahawa “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi
(7/78, no 13231).
Nabi langsung tidak mencela perasaan cinta yang dimiliki anak yatim
perempuan tersebut sebelum berkahwin. Nabi hanya berkata bahawa perkara
yang sesuai kepada orang yang saling menyintai itu adalah kahwin.
Hadith seterusnya berkenaan cinta Mughith kepada Barirah:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا
يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا
يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: يَا عَبَّاسُ، أَلَا تَعْجَبُ مِنْ
حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا). فَقَالَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ رَاجَعْتِهِ).
قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا أَنَا
أَشْفَعُ) قَالَتْ: لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ. أخرجه البخارى (5/2023، رقم
4979)، وأبوداود (2/270، رقم 2231)، والنسائى (8/245، رقم 5417)، وابن ماجه
(1/671، رقم 2075)، وأخرجه أيضًا ابن حبان (10/96، رقم 4273).
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas (dia berkata): “(Bekas) Suami Barirah
adalah seorang hamba dipanggil Mughith. Seolah-olah aku melihatnya
sekarang mengekori belakang Barirah dengan bercucuran air mata atas
janggutnya. Nabi lalu berkata kepada Abbas: (Wahai Abbas, tidakkah
engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian
Barirah kepada Mughith?. Kata Nabi kepada Barirah: (Kalaulah kamu dapat
kembali kepadanya). Barirah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kamu
memerintahkan aku? Nabi berkata: (Aku hanya menjadi juru runding).
Barirah berkata: “Aku tak punya hajat pada Mughith”. Hadith riwayat Imam
Bukhari (5/2023, no 4979), Abu Daud (2/270, no 2231), Imam An-Nasa’I
(8/245, no 5417), Ibnu Majah (1/671, no 2075), juga Ibnu Hibban (10/96,
no 4273).
Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah:
1) Nabi tidak pernah melarang Mughith daripada terus mencintai Barirah walaupun Barirah telah menjadi ajnabiyyah buatnya.
2) Nabi bahkan mengambil inisiatif bagi melihat cinta itu berjaya dengan
memujuk Barirah supaya kembali kepada Mughith, tetapi apakan daya
Barirah tetap menolak.
3)Nabi tidak memberikan sebarang komen terhadap Mughith yang setia
mengekori Barirah untuk memujuknya. Bahkan Nabi bersabda kepada Abbas:
(Tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan
kebencian Barirah kepada Mughith?)
Lihat bagaimana ajaran Islam yang bersifat sesuai dengan realiti
kehidupan berdepan dengan masalah manusia. Sayangnya ajaran Islam yang
bersifat realistik dan meraikan fitrah manusia ini, dicemarkan oleh
sebahagian daripada kita yang terlampau bersemangat dalam membasmi
masalah gejala sosial, sehingga dalam sedar atau tidak sedar mereka
turut membasmi fitrah manusia dan menjadikan ajaran Islam seolah-olah
hanya merupakan fantasi kehidupan yang tidak pernah wujud.
Islam datang bukan untuk berkata: “Jangan menyintai dan buang perasaan
cinta itu”, tetapi datang dengan mengajarkan kita bahawa andainya kamu
jatuh cinta, maka barhati-hatilah agar cinta itu tidak membuatkan kamu
terpesong daripada kebenaran.
Islam juga datang bukan untuk mengatakan kepada kita: “Jangan kamu
membenci sesama kamu”, tetapi datang untuk mengajarkan andainya kamu
membenci seseorang maka biarlah berpada-pada jangan sampai membutakan
kamu daripada kebenaran.
Jatuh cinta adalah perkara yang tidak mampu dikawal, hal itu terletak
pada kuasa Allah dan Allah tidak akan menzalimi hambaNya dengan
membebankan mereka dengan perkara-perkara yang tidak mereka mampu
melakukannya. Masalah yang diperbahaskan dalam ilmu usul fiqh sebagai
التكليف بما لا يطاق / Attaklif bima la yutaq.
Sedangkan Nabi sendiri pun meminta pengecualian daripada Allah dalam
urusan berlaku adil antara isterinya dalam perkara yang melibatkan hati
dan perasaan.
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ، وَيَقُولُ:
(اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا
تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ). قال الترمذي: إِنَّمَا يَعْنِي بِهِ الْحُبَّ
وَالْمَوَدَّةَ كَذَا فَسَّرَهُ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ. أخرجه الترمذي
(1140)، وأبو داود (2134)، والنسائي (7/63).
Maksudnya: “Daripada Aisyah bahawa Nabi membahagikan antara
isteri-isterinya dengan adil dan dia berkata: (Ya Allah, ini adalah
pembahagian aku daripada apa yang aku miliki, janganlah Engkau mencela
aku pada perkara yang Engkau miliki tapi tidak aku miliki). Berkata Imam
Tirmizi: Sesungguhnya yang dimaksudkan itu adalah perasaan cinta dan
sayang sebagaimana tafsiran ahli ilmu. Hadith dikeluarkan oleh Imam
Tirmizi (1140), Imam Abu Daud (2134), dan Imam Nasa’I (7/63).
Jelas melalui hadith tersebut bahawa perasaan cinta dan sayang tidak
mampu dikawal oleh manusia. Mustahil bagi seorang lelaki yang beristeri
empat contohnya mahu berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam soal
hati dan perasaan. Sebab itu Nabi sendiri memohon kepada Allah supaya
tidak mencelanya pada perkara yang tidak dimiliki olehnya dan tidak
termampu baginya untuk melakukan.
Hal sebegini disedari dengan baik oleh para sahabat. Dalam suatu kisah
yang melibatkan Sayyidina Umar sendiri diceritakan bahawa telah datang
kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Wahai Amirul Mukminin,
sesungguhnya aku telah melihat seorang perempuan lalu aku jatuh cinta
kepadanya”. Lalu Sayyidina Umar Bin Khattab berkata: “Itu adalah perkara
yang tidak mampu dikawal”. Rujuk Al-Jawab Al-Kafi oleh Ibnul Qayyim,
m/s 164, cetakan Darul Kutubil Ilmiyyah.
Hal ini berlaku kerana sememangnya manusia itu akan mudah jatuh cinta
kepada sesiapa yang berkongsi keserasian dengannya, bak sabda Nabi dalam
sebuah hadith:
الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف. أخرجه البخارى (3/1213، رقم 3158).
Maksudnya: (Roh-roh itu adalah ibarat tentera yang saling berpasangan,
mana-mana roh yang secocok maka roh-roh itu akan bersatu, mana-mana roh
yang tak secocok maka roh-roh itu akan berselisih). Dikeluarkan oleh
Imam Bukhari (3/1213, no 3158).
CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN
1) "Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung
dengan berlainan mahram sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM
berdosa"
Komen saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa???
2) Zinanya hati ini berlaku apabila hati kita menginginkan sesuatu yang
haram bagi kita secara berlebih-lebihan. Sebagai contoh, keinginan itu
seperti ingin dirindui, dicintai, dibelai, mengingati si dia lebih
daripada kita mengingati Tuhan.
Komen saya: Masih gagal memahami maksud zina hati dengan baik. Yang
pertama katanya zina hati adalah: Menginginkan perkara haram secara
berlebihan. Kalau begitu, menginginkan perkara haram secara tak
berlebihan tu kira oklah ya???
Yang kedua, contoh yang diberikan itu satu pun tidak termasuk dalam zina
hati, hal-hal itu bukan termasuk dalam bab zina hati, tetapi termasuk
dalam bab lagho dan melakukan perkara yang harus dengan berlebihan.
3) Seorang lelaki teringatkan perempuan, itu zina hati kan? Saya pun
kurang jelas dgn konsep zina hati ni. Jadi maknanye kalau teringat saja
kat bukan mahram kite tu dah kira zina ya? Satu lagi, lelaki tersebut
sahaja yg berdosa atau pun keduanya?
Komen saya: Lelaki ingatkan perempuan itu zina hati? Perempuan ingatkan
lelaki zina hati? Heheh… luasnya skop. Kalau macam tu, lelaki lepas ni
janganlah ingat kepada ustazah kat sekolah, perempuan pula jangan
ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua zina hati tu, berdosa tau
tak…hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina hati itu pun tak faham,
mudah-mudah sahaja memberi pandangan.
Adapun soal siapa yang berdosa dalam hal ini, jawabnya tiada sesiapa
yang berdosa baik lelaki mahupun perempuan kerana itu bukan zina hati.
4) Saya ada kemusykilan di sini. Seandainya pasangan ini sudah berniat
untuk berkahwin, adakah rindu antara mreka juga dikatakan zina hati?
Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin”.
Komen saya: Soalannya bagus. Tetapi jawapan yang diberikan oleh ustazah
itu cukup mengecewakan. Ustazah, tolonglah fahami maksud zina hati itu
dengan baik sebelum memberikan jawapan. Boleh ustazah?
5) Dalam tak sedar, kita boleh melakukan zina. Benda yang kita tak
nampak, tapi dosa besar. Dalam diam, kita dah lakukan zina. Bukan dari
luaran, tapi dalaman. Astghfirullahala'zim. Kita sekarang terlalu
terdedah dengan benda-benda yang lagho. Lupa mengingati Allah.
Komen saya: Dosa besar??? Sejak bila pula zina tangan, kaki, mata,
mulut, hati itu tergolong dalam dosa besar??? Telah saya jelaskan bahawa
itu semua termasuk dalam kategori dosa kecil yang disebut sebagai
Al-Lamam. Dosa sebegini terampun hanya dengan melakukan perkara kebaikan
biasa seperti berwudhuk, solat, zikir dan sebagainya lagi tanpa
memerlukan taubat khusus.
Soal lagho dan lupa mengingati Allah itu soal lain. Kalau nak bercerita
tentang lupa mengingati Allah ni, semua manusia tidak terlepas
termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana kita adalah manusia bukan
malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik, jangan cuba menjadi
malaikat.
Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan
berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi
berkata: (Apa maksudmu?). Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama
Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama
keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi:
(Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal
seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan
dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa
masanya). Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937)
6) Jika kita rindu seseorang ajnabi kerana kita memang couple dengan
dia, tak kiralah berjumpa atau tidak, itu dikira zina hati. Kalau tak
couple, tapi mungkin minat, dan lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa,
pada mulanya fitrah, tetapi apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah,
itu boleh menjadi zina hati.
Komen saya: Pulak dah, ada beza pula ya antara yang bercouple dengan tak
bercouple. Jawapan yang langsung tiada asas ilmu, sekadar
mengagak-agak.
7) Saya selalu digosip kawan-kawan dengan seseorang, bila nama orang tu
disebut-sebut, saya akan teringat kepada dia dan ini menyebabkan saya
terpalit dengan dosa zina hati kerana mengingati seseorang yang bukan
mahram dengan saya. Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa
saya.
Komen saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas ni janganlah ingat langsung
kepada sesiapa yang bukan mahram anda. Sepupu anda, cikgu anda, pak
guard sekolah anda, perdana menteri Negara anda, kerana itu semua bukan
mahram anda tu. Zina hati tu… Hai, mudah-mudah saja membuat hukum ya.
8) Nak tanya sekejap. Zina hati tu dikira apabila kita teringat
seseorang yg berlainan jantina untuk seketika atau teringat selalu
hingga termenung?
Menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”.
Komen saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak sangka, ada juga jawapan
sebegini. Teringat seketika pun tak boleh ya, kena selalu ingat Allah
sepanjang masa 100 peratus ya. Macam tu sahabat Nabi pun kalah dengan
awak. Hebat betul awak ya, sama taraf dengan malaikat.
Dalam Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita ingat kepadaNya sentiasa kerana
itu adalah perkara yang mustahil dan ulama menyebut bahawa Allah tidak
sekali-kali membebankan manusia dengan perkara yang mustahil untuk
dilakukan.
Sebab itu, Allah hanya menyuruh kita supaya banyak ingat kepadaNya,
bukan selalu ingat kepadaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat
ke-41:
((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً))
Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak)).
9) Sekarang ni saya tengah buntu. Saya sekarang bercinta dengan
seseorang. Tapi kami mahukan perhubungan kami diredhai Allah. Tetapi
baru-baru ni saya ada baca nota yang mengatakan bercinta adalah haram
dalam Islam. Betul ke? bercinta juga mendekatkan diri kepada zina iaitu
zina hati. merindui dan mengingati antara satu sama lain. Jadi, apakah
yg perlu saya buat?
Maka berfatwalah seorang rakannya: “Bercinta tu memang haram. Bila dah
bercinta kita selalu rindu, kadang-kadang ingat kat dia dan macam-macam
lagi. Itulah yang dinamakan zina hati. Sebab itu, bercintalah selepas
kawin.
Komen saya: Sama juga masalah dengan mereka yang sebelum ni. Keliru
dengan maksud bercinta, lepas tu tak memahami erti zina hati.
Adapun soal bercinta sebelum atau selepas kahwin, kalau dimaksudkan
dengan perasaan cinta, maka bagi saya perasaan cinta itu perlu ada
sebelum kahwin bukan selepas kahwin, manakala aktiviti percintaan itulah
yang dilakukan selepas kahwin. Sebab itu Nabi menyuruh sahabatnya kalau
nak melamar perempuan tu tengok dulu, supaya timbul perasaan cinta
dalam hati. Kalau setelah melihat tapi tidak timbul rasa cinta dan
berkenan tu, maka cari yang lain.
9) Bagi saya memang zina hati susah utk dihindari terutama zaman
sekarang. Lebih-lebih lagi zaman teknologi sekarang. Walaupun dengan
bermesej, boleh diragukan kita buat zina tangan. Itu zina tangan, kalau
dah zina luaran, macam mana pula dalaman?
Komen saya: Astaghfirullah, pandangan yang penuh dengan ta’annut dan
tasyaddud. Gagal dalam memahami maksud zina hati dan zina kecil yang
lain. Bermesej di telefon itu zina tangan?? Kalau anda bermesej mengajak
kepada persetubuhan, semestinya itu zina tangan, tapi kalau sekadar
bertegur sapa pun nak dilabelkan sebagai zina, maka anda tersasar jauh.
Memang berhubung antara lelaki dan perempuan hanya perlu apabila ada
keperluan. Tapi kalau tiada keperluan dan sekadar menggatal, tidak boleh
sewenang-wenangnya dengan mudah mengkategorikan hal itu dalam bab zina
tangan tetapi dikategorikan dalam bab buat perkara lagho tak berfaedah.
Sudahlah gagal memahami maksud zina-zina kecil tu, gagal pula membezakan
antara mereka yang melakukan zina kecil dengan mereka yang melakukan
perkara-perkara lagho tak berfaedah.
10) Zina hati sebenarnya apabila kita mengingati seseorang secara berlebih-lebihan.
Komen saya: Fahaman yang juga tersasar.
11) Macam mana kalau teringatkan lelaki yang kita hanya pernah berjumpa
dengannya dalam mimpi, tapi kita tak kenal pun kat alam nyata ni, kira
zina hati juga ke?
Komen saya: Lihat bagaimana kegagalan memahami maksud zina hati menyebabkan timbulnya soalan-soalan yang tak sepatutnya timbul.
12) Saya pun ada juga zina hati ni kerana teringatkan kawan lelaki. Nak
buat macam mana nobody's perfect except our prophet. Tapi macam yang dah
dinasihatkan oleh rakan supaya bila teringatkan seseorang (si dia) kita
hendaklah membaca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah.
Komen saya: Gagal dalam memahami zina hati dan mengenal pasti penyakit
sebenar, kemudian cuba mereka-reka ubat sendiri. Baca Al-fatihah supaya
kita ingat dia kerana Allah??? Hehe…lucu juga dengan petua yang
diberikan.
13) Memang susah nak hindari zina hati. Susah sangat. Apabila
teringatkan si dia, susah nak lupakan. Tapi nak tanya ni, apa dosanya
kalau kita buat orang lain zina hati? Contohnya: Kita buat orang lain
berkenan kat kita.
Komen saya: Masih juga tak faham-faham dengan maksud zina hati.
14) Zina hati yang paling ketara dalam jiwa remaja zaman sekarang adalah
kamu merindui si dia, kamu sentiasa terbayang si dia, kamu tak dating,
tak jumpa dgn si dia, tak keluar makan-makan, tapi kamu masih terbayang
pada si dia. Bukti yang paling ketara, inbox kamu penuh dgn mesej si
dia. Bayangkan sahaja, seorang remaja yg cukup komited dgn dakwah tetapi
mereka bercinta. Bayangkan presiden BADAR kat sekolah bercinta. Ya
Allah! tak dating, tak keluar makan-makan, tak berutus surat, tapi
saling berbalas mesej dengan beralasankan "Eh takpe, aku hantar mesej
pasal hadis la kat dia. Saling nasihat menasihati". Astaghfirullah,
itulah contoh-contoh zina hati. Nama pun hati, mesti la dalam hati.
Betul tak?
Komen saya: Tak betul langsung. Saudara, itu tidak termasuk dalam bab
zina hati. Itu gedik dan mengada-ngada termasuk dalam bab buat
perkara-perkara tak berfaedah atau lagha. Saya lebih suka mengistilahkan
percintaan sebegitu sebagai percintaan yang “poyo”. Percintaan
pra-matang remaja baru nak up.
Sabda Nabi: (Antara keelokan Islam seseorang itu, dia meninggalkan apa
yang tak patut baginya). Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317)
dan dia berkata: Gharib. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no
3976) dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229).
14) Sebenarnya, saya ada satu soalan. Begini, seorang lelaki amat
menyayangi seorang perempuan bukan mahram ini, tetapi dia tidak
merinduinya. Adakah ini tergolong dalam zina hati juga? Sebab saya masih
tak berapa jelas dengan maksud zina hati.
Komen saya: Apabila gagal untuk memahami zina hati dengan baik, kemudian
dimomokkan pula dengan fahaman-fahaman yang salah tentang zina hati,
maka diri sendiri mencari jalan keluar dengan mereka-reka perkara yang
tak masuk akal. Seorang kekasih menyintai kekasihnya, tetapi mereka
tidak rindu, adakah ini juga termasuk dalam zina hati? Ahaha…
Tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik, perasaan cinta antara
kekasih dengan kekasihnya tidak dikira zina hati, juga perasaan rindu.
Kalaupun perasaan cinta dan rindu itu melampaui batas, itu tidak
termasuk dalam bab zina hati, itu termasuk dalam bab berlebih-lebih
dalam perkara-perkara yang harus. Yang menjadi zina hati adalah perasaan
atau keinginan hati untuk melakukan dosa zina iaitu bersetubuh dengan
kekasih tersebut. Faham!!!
15) Saya takut diri saya terjebak dengan “zina hati” apabila saya
teringat pasal si dia. Biasanya, saya akan membayangkan saat-saat kami
berjumpa, kata-kata dia dan kadang-kadang saya macam berangan-angan
berumah tangga dengan dia. Selalu terbayang dalam fikiran saya,
kehidupan kami sebagai suami isteri contohnya, saya masak untuk dia,
bermesra dengan anak-anak dan sebagainya. Itu memang selalu saya
fikirkan. Adakah itu salah satu dari “zina hati”? Saya juga tak boleh
kawal perasaan rindu setelah kami berjauhan. Perasaan tu la yang buat
saya lalai sedikit sebanyak. Saya cuba tenangkan fikiran saya dengan
solat sunat, baca Al-Quran tapi tu tak kekal lama.
Komen saya: Amboi-amboi, jauhnya akak berkhayal. Itu bukan zina hati tu
kak, itu angau namanya. A N G A U: Angau. Parah benar nampaknya tu.
Walaupun bukan termasuk dalam zina hati, tetapi eloklah dielakkan
perkara-perkara lagho sebegitu, sibukkan diri dengan perkara-perkara
berfaedah, jangan sampai terbuang masa kerana berkhayal.
16) Saya telah mengambil keputusan meninggalkan pasangan saya kerana
saya tahu ianya sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Dan
alhamdulillah saya juga telah mengambil langkah dengan bernikah dengan
seorang gadis melalui cara yang lebih baik iaitu melalui pernikahan
secara Islamik.
Komen saya: Astaghfirullah, bercinta dengan seorang gadis, kemudian
merasakan perkara itu sebagai salah lalu memutuskan hubungan. Kemudian
mengambil langkah penyelesaian dengan berkahwin dengan gadis lain?
Mengapalah “terlampau cerdik” sampai ke tahap ini??? Kalaupun anda
merasakan hubungan anda itu salah dan berdosa, apa yang anda perlu
lakukan adalah bertaubat daripada dosa dan membaiki dosa tersebut.
Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-39.
((فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ))
Maksudnya: ((Sesiapa yang bertaubat selepas kezaliman yang dilakukan dan
membaiki kesilapannya maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa ke
atasnya)).
Seorang pencuri, apabila sedar dan insaf atas dosa yang dibuat, maka dia
perlu bertaubat daripada dosa mencuri tersebut, dan membaiki dosa
tersebut dengan memulangkan kembali segala barang-barang yang dicuri.
Seorang lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan sehingga terjebak
ke dalam perkara-perkara dosa, apabila sedar dan insaf perlulah
bertaubat daripada dosa yang dilakukan, dan membaiki dosa tersebut.
Bagaimana untuk membaiki dosa tersebut? Iaitulah dengan mengahwini
perempuan itu.
Bukannya dengan memutuskan hubungan dan kemudian berkahwin dengan
perempuan lain. Mengapa mahu berkahwin dengan perempuan lain sedangkan
si dia ada dan masih menyimpan cintanya terhadap kamu?
Adakah pada pandangan anda perempuan itu tidak layak diperisterikan
kerana sudah ternoda? Ooo, kiranya kamu bersihlah tiada noda? Siapa yang
menodainya? Kamu juga. Kononnya nak mencari yang suci bersih walhal
diri sendiri terpalit dengan kekotoran. Jenis manusia yang tak sedar
diri.
17) Ana dulu pun couple gak. Sejak sekolah sampai dah masuk universiti,
dekat nak gred. Tapi apabila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana
terus tinggalkan walhal ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana,
yang akan jadi ibu kepada anak-anak ana.
Komen saya: Ke’tidak cerdikan’ yang sama berulang. Anda dah punya niat
suci untuk memperisterikannya, kemudian memutuskan hubungan itu setelah
merasakan hubungan itu salah pada pandangan anda.
Sepatutnya, baikilah apa yang anda rasakan salah itu dan teruskan niat
suci anda untuk memperisterikannya. Semudah itu pun masih tak faham?
Mengapa masih juga mengambil tindakan yang tak cerdik?
MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA
Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam
bidang dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka
mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi
masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang
kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih
daripada membaiki.
Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga
menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih
daripada skop asalnya.
Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية
/wasatiyyah (pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat
mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan
keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu
memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun,
semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.
Sebagai contoh, apabila wujud sebahagian daripada sahabat Nabi
mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga tidak meratakan air ke
tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi memberikan amaran keras kepada
mereka berupa seksaan api neraka.
Sebaliknya apabila ada pula sebahagian sahabat yang memayah-mayahkan
urusan berwudhuk sehingga membasuh anggota wudhuk secara berlebihan,
maka Nabi berkata bahawa basuhan wudhuk itu hanya tiga kali. Andainya
masih wujud keraguan dalam hati tidak rata, maka usah dilayan, itu hanya
was-was syaitan.
Caranya adalah bersikap keras kepada mereka yang nampak
mempermudah-mudahkan agama, dan bermudah-mudah bagi mereka yang nampak
memayah-mayahkan agama. Tetapi perlu diletakkan dalam kepala bahawa
tujuan akhirnya adalah supaya kedua-dua golongan tersebut kembali kepada
kesederhanaan dalam beragama.
Kata Imam Syatibi: Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka
engkau akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu
melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi
terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada
sisi lain.
Sisi memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang)
didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan
agama.
Sisi memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah
kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama.
Kalau tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu
lebih utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal
yang menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk
Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar
Ibni Affan)
Janganlah terlampau mempermudahkan dan jangan terlampau menyusahkan.
Ambil jalan pertengahan. Untuk pesakit darah tinggi, berikan ubat yang
menurunkan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan normal. Pesakit
darah rendah pula, berikan ubat yang meninggikan kadar tekanan darahnya
kepada kadar tekanan tahap normal. Apa yang penting adalah memastikan
kenormalan tekanan darahnya.
Akhir kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik.
Andai timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka
bak kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”….hehe
sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang
sepatutnya.
Sememangnya muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu
memang sesuatu yang bagus. Tapi men’dosa’kan diri dengan perkara yang
bukan dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan
tasyaddud yang ditegah dalam beragama.
Islam tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan
manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia
dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu
dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang
baik.
Sekian, wassalam.
Sumber:
http://gubukmusafir.blogspot.com/